MEATBALL
-
MEATBALL.
Having a good with family.best sangat bila dah lama tak jumpa .rindu tuu
terbalas. He he. Time no first time mama makan meatball ni. Ab...
Senarai Blog Saya
Khamis, 9 Januari 2014
Assalamualaikum, Baca Al-Quran (Terjemahan) - Sedikit Demi Sedikit (2. Al-Baqarah: 223-232)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[223]
Isteri-isteri kamu adalah ibarat kebun kamu, oleh itu datangilah kebun kamu itu apabila kamu menghendaki dan sediakanlah untuk diri kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.
[224]
Dan janganlah jadikan nama Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu berbuat baik dan bertaqwa, dan mendamaikan di antara manusia. Dan Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
[225]
Allah tidak mengira kamu salah mengenai sumpah kamu yang tidak dimaksudkan, tetapi Dia mengira kamu salah kerana sumpah yang disengajakan hati kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[226]
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[227]
Dan jika mereka berazam hendak bercerai, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
[228]
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (berkahwin) selama tiga kali suci (haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan apa yang dijadikan Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak merujuk kembali isteri-isteri tersebut dalam masa idah mereka sekiranya si suami bertujuan berdamai. Dan bagi mereka (isteri-isteri) juga mempunyai hak yang sama seperti mana kewajipan yang ditanggung oleh mereka dengan cara yang sepatutnya. Dalam pada itu orang-orang lelaki mempunyai satu darjat atas orang-orang perempuan. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[229]
Talak (yang boleh dirujuk hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan dengan cara yang baik. Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka melainkan jika keduanya takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Oleh itu sekiranya kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikannya (isteri) untuk menebus dirinya. Itulah hukum Allah maka janganlah kamu melanggarinya. Dan sesiapa yang melanggar hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[230]
Sesudah itu, jika diceraikan pula (bagi kali ketiga) maka dia (isteri) tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga dia berkahwin dengan suami lain. Setelah itu jika dia (suami lain) menceraikannya, maka mereka berdua tidaklah berdosa untuk kembali, jika mereka berpendapat dapat menegakkan hukum Allah dan itulah hukum Allah, diterangkanNya kepada kaum yang mengetahui.
[231]
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kemudian mereka mendekati akhir tempoh idahnya maka bolehlah kamu rujuk mereka dengan cara yang baik atau melepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu rujuk mereka, kerana kamu hendak melakukan kezaliman. Dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu jadikan ayat-ayat Allah itu sebagai ejekan. Dan kenangkanlah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, dan juga apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab dan ilmu hikmat, untuk diberikanNya pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[232]
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri, kemudian tamat masa idah mereka, maka janganlah kamu (wali) menahan mereka daripada berkahwin lagi dengan (bakal) suami mereka, apabila mereka bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik. Demikianlah diberikan peringatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu malah lebih suci. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan